Dalam solatku yang sudah sekian kalinya, aku tetap merenung telunjukku
dalam setiap tasyahud (tahiyyat) awal dan akhir, mengharapkan pahala
menurut sunnah mengisi setiap kantung pahala yang tak pernah ku lihat.
Berpuluh tahun berbuat demikian, perasaan ingin tahu tetap menerjah hatiku.
Mengapa Rasulullah s.a.w. berbuat demikian? Mengapa disunatkan merenung
telunjuk sewaktu tasyahud? Pasti ada sesuatu sehinggakan disunatkan berbuat
demikian. Bagi yang tak ambil pusing, tetap bahagian mereka dengan kantung
pahala yang sarat di akhirat, dijamin Allah s.w.t..
Dirujuk persoalan itu kepada yang arif. Kata mereka telunjuk itu satu,
diangkat ketika mengucapkan kalimah "Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang
disembah melainkan Allah" bagi menandakan keEsaan Allah yang Satu, Yang
Maha Esa dan Tiada yang sebanding denganNya. Jawapan yang diberi
mententeramkan jiwaku hanya buat seketika. Memang benar apa yang dikatakan
yang arif itu tadi, tapi mengapa gelodak jiwa mengatakan ada sesuatu yang
lain.
Aku sentiasa terganggu dengan persoalan yang ditimbulkan hati yang
mendesak-desak mencari rahsia sebenar sehingga hatiku puas. Kenapa hanya
perkara ini begitu mendesak jiwa sedangkan perbuatan itu hanya dilakukan
dengan seketika dalam solat.
Sehinggalah di suatu senja yang sangat hening. Hujan lebat mula turun di
luar rumah, menghalang langkah insan yang beriman lemah ini untuk ke tempat
azan dilaungkan. Ditunaikan tanggungjawabku kepada Yang Maha Pencipta dalam
kamar bacaan di rumah. Maghrib itu membuka persoalan lama itu kembali. Mula
sahaja tasyahud awal, telunjukku direnung dan membangkitkan kembali
persoalan yang sering bermain dijiwaku.
Kekhusyukan dalam ibadatku sedikit teganggu, minda ditumpukan kembali
kepada bacaan solat supaya hatiku tetap berpaksikan rasa syukurku kepada
Yang Menciptakan diriku dengan segala kesempurnaan. Tapi semua itu
terganggu kembali bila saja aku berada dalam tasyahud akhir. Sekali lagi
aku mengucapkan kalimah "Ashhadu allaa ilaa ha illallah (Aku bersaksi
bahawa Tiada Tuhan Yang disembah melainkan Allah) sambil jari telunjukku
diangkat menandakan aku mengakui keEsaan Allah s.w.t..
Bagaikan hendak tersembur kandungan dadaku tatkala aku merenung jari
telunjukku pada kali ini. Serta merta airmataku mencurah-curah keluar tak
tertahan, ditahan sebak dadaku supaya tidak terbatal solatku. Allahuakbar!
Allah Maha Besar! Ampunkanlah segala dosa yang telah kulakukan dengan
tanganku ini… Ya Allah! Betapa Engkau memuliakan kami manusia dengan
kalimah NamaMu pada jasad kami yang kotor ini.. Ampunkanlah kami,
ampunkanlah aku… Mulai maghrib hari itu, perbuatan mengangkatkan dan
merenung telunjuk dalam tasyahud tidak lagi mengganggu kekhusyukan solatku,
tapi ia membuatkan hatiku sentiasa gentar dan sayu..
Sayu mengenangkan dan merindui Allah s.w.t., gentar kerana aku melihat aku
ini milik Allah… Ya! Benar.. akhirnya jawapan bagi persoalan itu telah
kutemui bila saja terpandang kalimah Allah ditelunjuk kananku..
Subhanallah! Maha Suci Allah! Ampunilah aku sekiranya tangan yang membawa
kalimah namaMu yang Maha Suci dan Mulia ini telah aku gunakan untuk
melakukan dosa dan maksiat melanggar perintahMu.. Ampunkanlah HambaMu ini
Ya Allah…..
No comments:
Post a Comment