SAHUR DAN PANDANGAN SAINS
Puasa adalah amalan yang dituntut bagi umat islam, ianya juga
mengandungi hikmah yang besar bagi sesiapa yang mengamalkannya. Dalam
puasa ini terkandung didalamnya sahur yang mengandungi hikmah
disebaliknya seperti sabda nabi SAW, “Bersahurlah kamu kerana pada
sahur itu ada berkat.” (Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn
Majah) Dalam hadis ini bersahur dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan
bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.
Dalam riwayat yang
lain baginda bersabda, “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan
ahli kitab ialah makan sahur.” (Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi,
Nasai) Mengikut hadis ini pula, bersahur menjadi pembeza antara puasa
umat Islam dengan ahli kitab.Umat Islam
disuruh melewatkan sahur kerana nabi bersabda, “Sentiasalah umatku
berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan
menyegerakan berbuka puasa.” (Ahmad) Melewatkan sahur bermaksud
bersahur ketika menghampiri waktu subuh dan berhubung dengan ini Zaid
bin Thabit pernah berkata, “Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian
kami bangun untuk melakukan solat (subuh).” Kemudian Zaid bin Thabit
disoal, “Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan
solat subuh)?” Berkata Zaid, “Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.”
(Bukhari)Dalam kitab Nailul Authar disebutkan, “Imam Ibn Abdil
Bar berkata, hadis-hadis yang menerangkan tentang kepentingan
menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur kesemuanya adalah
bertaraf sahih dan mutawatir.”Penekanan nabi agar sahur
dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia
menepati waktu bersarapan pagi (breakfast). Kajian semasa menunjukkan
makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi. BBC
News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah amat
penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil
makanan pada waktu yang lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark
Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati,
mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk,
mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis.Kajian
yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi
menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang
berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan
mereka yang jarang bersarapan pagi.Hal ini menjadi lebih
penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan
sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh
mereka yang kecil. Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa
dalam darah menurun selepas bangun dari tidur dan keadaan ini
berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi
masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.Tambahan dari itu satu
kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan
Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana
menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua
kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini akan
menyebabkan penyakit anemia (iaitu suatu penyakit yang berkaitan dengan
kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry
Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.
Justeru secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan
mendapat kemudaratan berdasarkan kajian-kajian yang dipaparkan ini.Tambahan
dari itu, puasa meredakan tekanan atau stress pada jiwa seseorang
kerana, di samping tidak makan, minum dan bersetubuh di siang hari,
umat Islam digalakkan membaca Al-Quran, bersedekah, memelihara lidah
serta membanyakkan solat dan zikir. Amalan-amalan ini menguatkan dan
mendamaikan hati.Justeru puasa Ramadan yang diwajibkan Allah
kepada umat Islam adalah sesuai dengan fitrah semula jadi manusia dan
ia mampu dilaksanakan oleh segenap lapisan masyarakat kerana
pendekatannya adalah tidak memudaratkan. Yang paling penting ialah, ia
adalah ibadah yang diwajibkan Allah dan Allah amat mengetahui apakah
yang terbaik bagi manusia.
والله تعالى أعلم
No comments:
Post a Comment