Friday, July 2, 2010

KETENANGAN






~ Mengapa masih tidak tenang???... ~

Orang kata, kalau ikut Islam boleh tenang, bahagia. Dan kita, hari-hari bersembahyang. Namun ketenangan dan kebahagiaan yang dicari-cari, tetap tak kunjung tiba. Mengapa???

Kiranya bahagia itu tidak dapat diukur dengan mata kasar, kerana pandangan mata selalunya menipu. Masakan melihat seorang wanita dengan lengan yang bersusun dengan gelang permata kita sudah boleh mengatakan dia bahagia...

Namun..... bahagia dapat dirasa di hati, boleh dikesan pada wajah. Sebaliknya jika tiada, hati boleh merasa dan tak mungkin ditipunya.Kadang-kadang, pada lahirnya sesebuah keluarga itu sudah nampak aman damai. Namun, hakikatnya hati para penghninya masih tak bahagia. Mengapa? Rasa-rasa masih ada lagi yang kurang...Ketenangan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNYA yang beriman dan bertaqwa.

Mereka yang mendapat ketenangan seperti mendapat syurga yang disegerakan (Al Jannatul Ajilah) sebelum mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat. Mereka yang telah menikmatinya tidak akan terpengaruh dengan suasana untuk mendapat tenang dan bahagia. Justeru setiap apa yang dilakukan di atas muka bumi ini, bukan untuk mengejar bahagia. Tapi atas rasa dirinya sebagai hamba yang perlu mentaati perintah dan menjauhi larangan Tuhan, demi mendapatkan keredhaanNYA. Dalam berseorangan pun mereka rasa bahagia, apatah lagi ketika ramai. Sewaktu susah dan kesempitan pun mereka rasa bahagia, apalagi di kala senang dan lapang. Keredhaan Allah cukup besar maknanya bagi mereka.

Namun, tidak semestinya pula mereka miskin, jika dalam kaya itu ada keredhaan Allah. Dan tidak semestinya mereka susah kalau dalam senang dan lapang itu terdapat kecintaanNYA.Islam adalah cara hidup mereka dan kebahagiaan mereka. Islam dijadikan pegangan bukan kerana mahukan kebahagiaan, sebagai escapism, untuk lari dari masalah. Kerana orang yang ikut Islam kerana hendakkan bahagia, bila gagal menemui ketenangan dan kebahagiaan setelah Islam diamalkan, tak mustahil mereka akan berpaling kepada cara hidup yang lain.

Mereka yang bahagia dengan Islam adalah mereka yang mengatur seluruh aspek kehidupan secara Islam kerana merasakan dirinya adalah hamba yang perlu patuh pada PENCIPTANYA dan Islam itu tidak sekali-kali dijadikan sebagai alat untuk mendapatkan keindahan dan kebahagiaan sementara.Indahnya Islam bagi mereka kerana ia merupakan syariat Allah yang sangat syumul dan praktikal.

Bahkan untuk mendapatkan keredhaan Allah, ada antara mereka yang diuji dengan kehilangan orang yang tersayang dan kehilangan kebahagiaan dalam keluarga. Tetapi, mereka masih dapat merasa tenang kerana merasakan segala yang datang itu, hakikatnya adalah dari Allah jua. Sebagai hamba, tidak selayaknya dipersoalkan ketetapan Allah yang tentunya mempunyai maksud di sebaliknya.

Seperti Siti Asiah isteri Firaun, rela diseksa oleh suaminya lantaran mempertahankan iman yang berharga. Begitu pula Nasibah yang bersungguh-sungguh melepaskan suami dan anak-anaknya yang masih muda ke medan perang, dan Ummu Habibah, isteri baginda Rasulullah yang sanggup berpisah dengan bekas suaminya yang kembali kepada kekufuran, kerana mahu mempertahankan iman.

Kerana cinta dan redha Allah itu adalah segala-galanya, hingga berkata Rabiatul Adawiyah; "...Jika di dalam Neraka itu ada redha-MU, campakkanlah aku ke dalamnya."

Ketenangan akan datang dalam diri bilamana dapat dirasakan, segala yang datang itu hakikatnya dari Allah jua.

و الله تعالى أعلم

No comments: